Bahagia dan Membahagiakan


 Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Mazlita dan Puan Che Aminah kerana telah berjaya dalam Larian Kampus sempena Hari Warga Staf 2012 yang lalu.  Syukur Alhamdulillah kerana menurut Puan Mazlita sejak mengikuti kelas senamrobik JKS beliau semakin sihat dan berstamina.  Saya tumpang bahagia kerana melalui Kelab JKS kita semua dapat membahagiakan orang lain selain untuk membahagiakan diri sendiri dan keluarga.

Alhamdulillah, saya juga diberi sedikit kebahagiaan daripada Allah s.w.t. kerana telah dua minggu saya sudah berhenti makan ubat antihypertension.  Sekiranya rakan-rakan belum mengetahui saya mempunyai hypertension, memang benar. Saya mendapat hypertension sejak mengandungkan anak ketiga iaitu pada tahun 2009.  Saya melahirkan anak ketiga pada Feb 2010 dan selepas saya kembali bekerja, saya sentiasa sakit kepala.  Setelah diperiksa, tekanan darah saya amat tinggi dan saya setuju untuk mengambil ubat kerana family history saya iaitu stroke, sakit jantung dan darah tinggi.  Saya sudah redha walaupun umur saya baru 35 ketika itu.

Berbalik kepada pemberhentian pengambilan ubat saya tadi, tekanan darah saya menurut doktor sudah normal.  Saya mempunyai bp set di rumah dan saya mengambil tekanan darah sebanyak 3 kali sehari dan mendapati average tekanan darah saya ialah 100/60, 110/70.  Saya ke Klinik Staf dan pada masa itu tekanan darah saya 118/69.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah.  Kemungkinan besar tekanan darah saya kembali normal disebabkan perkara berikut:

1.  Saya bersenamrobik secara aktif sebelum kehamilan saya.
2.  Saya sedang hamil (kemungkinan hormon juga mempengaruhi).
3.  Saya juga amalkan meminum air penawar bacaan doa yang saya beli dengan harga RM12.00 sahaja.

Walau bagaimanapun, saya tahu saya tetap harus mengambil sikap berhati-hati tentang pemakanan saya, rutin harian saya dan lain-lain.  Kemungkinan keadaan ini sementara sahaja (kerana segalanya datang daripada Allah s.w.t.).  ALLAH MAHA MEMBERI dan dia juga berhak menarik semula nikmat ini bila-bila masa sahaja.

Oleh itu, saya sudah yakin hanya dengan usaha secara semulajadi sahaja serta doa yang berterusan kita akan mendapat kesihatan yang diinginkan.  Walau bagaimanapun, sekiranya Allah ingin menguji dan menarik nikmat kesihatan kita, itu adalah kehendak Allah kerana hanya DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita walaupun sehebat manapun perancangan kita.

Saya menyeru sahabat-sahabat walaupun ada yang belum saya kenali agar sentiasa menjaga kesihatan tubuh kita kerana ia amanah Allah kepada kita semua.  Ajal maut dan sebab musabab ajal dan maut itu memang di tangan Allah tetapi Allah memberikan akal fikiran kepada kita supaya memilih hanya yang terbaik dan memberi manfaat kepada kita.  Selebihnya berserahlah kepada Allah...

Semoga Allah melindungi dan sentiasa memelihara kita. Amin...



Neeny

1 comment:

  1. Pemakan yg sihat adalh tunjang kpd bdn yg sihat..jom singgah blog saya,kita kongsi ilmu .. www.mysufisecret.blogspot.com

    ReplyDelete