http://www.sinarharian.com.my/tanya-dr-nizar/alternatif-lutut-sendi-besi-1.79373
Alternatif lutut sendi besi
Prof Madya Dr Nizar Abd Jalil
27 Ogos 2012
Sakit sendi lutut yang kronik boleh menyebabkan hilang upaya
Assalamualaikum Prof Nizar,
Saya sering mengikuti artikel Prof dalam akhbar Sinar Harian. Saya amat
tertarik dengan pelbagai rawatan sakit kronik terkini yang mampu
mengembalikan kehidupan kepada pesakit. Bagi saya ini satu rahmat besar
kepada semua pesakit kronik yang lama menderita kerana kebanyakan
rawatan moden dan alternatif sebelum ini kurang menyerlah
keberkesanannya.
Begini, bapa saya seorang pesara tentera berumur 75 tahun. Beliau
mengidap sakit lutut dan tidak mampu berjalan jauh kerana menanggung
kesakitan.
Dalam rumah beliau boleh berjalan hanya dengan menggunakan tongkat.
Bila bangun pagi beliau tidak boleh berdiri dan berjalan sendiri kerana
lutut menjadi kaku dan sakit. Malah beliau perlu dipapah untuk ke bilik
air. Beliau sudah lama bersolat sambil duduk di kerusi.
Beliau tidak boleh bertinggung untuk buang air besar kerana pasti mengalami kesukaran berdiri semula.
Selain itu lututnya sentiasa berbunyi ‘klik’ apabila cuba digerakkan.
Ubat tahan sakit seperti ponstan dan celebrex sudah macam tidak berkesan lagi.
Saya merujuk bapa saya kepada seorang doktor pakar ortopedik, beliau kata bapa saya mengidap penyakit osteoarthritis (OA).
Doktor mencadangkan rawatan pembedahan menggantikan kedua-dua sendi
lutut dengan sendi besi (total knee replacement) tapi bapa saya menolak.
Saya tertarik dengan rawatan suntikan radiofrequency yang mampu menyelesaikan hampir kesemua jenis kesakitan kronik.
Soalan saya, bolehkah kaedah suntikan ini membantu sakit lutut yang berpunca daripada OA?
Johari Muhammad, Shah Alam, Selangor.
Jawapan Prof Nizar:
Sakit lutut dalam kalangan orang berusia dinamakan osteoarthritis iaitu
sejenis sakit sendi yang disebabkan oleh proses penuaan yang berlaku
dalam sendi. Apa yang berlaku ialah permukaan rawan sendi menipis dan
cecair sinovial (pelincir) dalam sendi juga berkurangan.Ruang sendi
secara tidak langsung menjadi kecil di samping terdapat tulang baru yang
tumbuh di kelilingnya.
Akibat semua perubahan ini pergerakan pada sendi akan menyebabkan geseran kasar dan menyakitkan.
Pada peringkat awal proses ini akan menimbulkan tindak balas inflamasi /
keradangan, itu menjawab kenapa pada peringkat awal ubat than sakit
seperti ponstan dan celebrex dapat melegakan sakit.
Tapi lama kelamaan proses artritis ini akan bertukar kepada proses
degenerative iaitu satu bentuk proses penuaan. Maka tidak hairanlah ubat
tahan sakit tidak lagi berkesan. Ubat yang sesuai pada peringkat ini
ialah ubat yang bertindak terus pada pusat sensori saraf pusat (otak)
seperti paracetamol, tramadol, ultracet dan oxycontin.
Semua sakit artritis cenderung untuk berbunyi ‘klik’ kerana geseran
kasar sendi tadi dan juga daripada ligamen dan tendon otot yang
mengalami beberapa perubahan degenerative pada masa sama.
Semua sakit sendi akan memberi gejala kaku / ketat sendi bila lama
berehat seperti baru bangun tidur atau lama menonton TV. Jadi pantang
larang untuk orang sakit sendi ialah jangan berehat lama.
Sendi perlu terus digerakkan. Rawatan radiofrequency (RF) untuk sakit
lutut OA baru saja diperkenalkan setahun lalu. Penemuan besar ini telah
memberi rahmat kepada pengidap sakit lutut seperti bapa anda.
Fokus utama rawatan RF ini ialah mengurangkan rasa sakit dalam lutut
dengan ‘melemahkan’ saraf kecil yang mensarafi permukaan lutut.
Apa yang menariknya ialah, suntikan dilakukan di luar lutut bukan dalam
lutut. Rawatan ini akan lebih berkesan jika suntikan cecair pelincir
lutut (monovisc) turut dilakukan.
Jadi matlamat rawatan yang sempurna ialah dua dalam satu; mengurangkan
sakit sendi lutut dan melincinkan pergerakan sendi lutut.
Kejayaannya boleh mencapai 80 peratus terutama bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah lebihan berat badan.
Jelas sekali dengan kepakaran baru ini pembedahan sendi lutut boleh
dielakkan. Pembedahan bukannya jalan terakhir untuk pesakit OA lutut
yang kronik.
Walau bagaimanapun kaedah RF ini hanya sesuai untuk sakit lutut yang
belum lagi timbul kecacatan (deformity) seperti lutut yang sudah
bengkok.
Di Malaysia pakar sakit kronik (pain specialist) yang dapat melakukan suntikan RF ini amat terhad bilangannya.