Kehidupan Sedentari Lemahkan Tulang

Setiap individu pasti ingin mengekalkan kesihatan yang baik kerana ianya sangat penting dalam kehidupan seharian kita.

Namun, kebanyakan daripada kita kurang mengendahkan aspek itu dan menyebabkan ramai yang mudah mendapat penyakit.

Biarpun sibuk di pejabat tapi kesibukan kita sebenarnya hanya menghadap komputer tanpa perlu melibatkan aktiviti fizikal.


Malah di rumah pula, ramai yang suka menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan menghadap komputer.


Tahukah kita bahawa gaya hidup tidak aktif atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai ‘sedentari’ sebenarnya membahayakan diri dan kesihatan kita.


Tetapi ia kini merupakan gaya hidup yang semakin menjadi fenomena global.

Kebergantungan kepada mesin dan sistem yang automatik dalam kehidupan harian, mengurangkan untuk kita melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dan juga pergerakan.

Kini kita melakukan hampir segala-galanya dengan hanya menekan butang, dengan adanya teknologi moden abad ke-21.

Meskipun ia menyenangkan hidup kita semua tetapi hakikatnya ia mampu membawa kesan yang tak sihat.
Gaya hidup sedentari bukan saja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe.

“Tulang kita adalah tisu hidup, sungguhpun nampak keras, tulang sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula.”

“Kita perlu mengambil langkah untuk melindungi tulang kita sejak dari muda lagi dan sebaik-baiknya sebelum jisim tulang mencapai puncaknya. Dan gaya hidup sedentari tidak membantu bagi kesihatan tulang kita,” katanya ketika ditemui sempena bengkel media Fonterra-Anlene mengenai kesihatan tulang, baru-baru ini.
Kekurangan jisim yang berterusan juga boleh mengakibatkan osteoporosis, iaitu satu proses yang tidak boleh dikembalikan.

Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang kita rapuh dan retak bukanlah lagi masalah yang dihadapi oleh golongan tua semata-mata.

Satu-satu cara untuk melindungi tulang kita ialah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Kita juga perlu bersenam secara sederhana, tidak kira tua ataupun muda dan amalkan tabiat pemakanan yang sihat dan pastikan kita memenuhi keperluan kalsium harian kita setiap hari.

Ini penting untuk membina dan mengekalkan jisim tulang dalam tubuh badan kita dan membolehkan kita meregang dan menggunakan potensi tulang kita sepenuhnya.

Kita dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan mental kita, dengan hanya melakukan aktiviti-aktiviti fizikal.

Selain aktiviti fizikal, pengambilan kalsium yang mencukupi setiap hari juga adalah penting.
Ianya penting bagi memastikan tulang kita sentiasa kuat dan mengelakkan daripada ianya mudah reput.
Sementara itu, Sheua Yea, pengurus Insight Fontera Brands Malaysia pula memberitahu, ramai yang menyangka osteoporosis hanya akan berlaku kepada warga emas saja.

Malah ramai juga percaya bahawa penyakit yang berkaitan tulang ini tak boleh membawa maut. Ramai masih tak sedar bahawa penyakit ini juga boleh menyerang golongan muda dan membawa maut sekiranya tidak ditangani dari awal.

Hasil kajian penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa wanita dalam usia pertengahan hingga lewat 60-an yang mengalami masalah pinggul, adalah lima kali ganda lebih berisiko untuk mati dalam masa setahun.

Hakikatnya kemerosotan tulang dalam tubuh badan juga boleh berlaku kepada golongan muda, sekiranya tidak mendapat bekalan kalsium yang secukupnya.

Sebab inilah, ramai yang tidak mengambil perhatian sehingga mereka sendiri merasai kesakitan tersebut dan lebih malang lagi keadaan itu adalah kritikal.

Sambil menasihati agar golongan muda mengamalkan meminum susu setiap hari, amalan gaya sihat juga perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi kita. Kita perlu pastikan tulang kita mendapat bahan mentah yang diperlukan secukupnya. Dan cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari usia muda lagi dan seterusnya sepanjang hayat.

No comments:

Post a Comment