Awasi Anak Gadis Kita

Assalamualaikum pembaca budiman,

Terlintas di fikiran saya untuk menulis tentang isu ini memandangkan saya juga banyak membaca tentang kes-kes OSCC yang berlaku saban hari di negeri dan negara kita.  Sungguh sedih rasanya apabila anak-anak gadis seawal 13 dan 14 tahun sudah mempunyai teman lelaki; kadang-kadang ditemui melalui laman sosial facebook, twitter dsb, ataupun mengenali lelaki yang baru beberapa jam ditemui; terus mengikut lelaki tersebut bersiar-siar di pantai atau taman atau diajak minum-minum.  Lalu, kesudahannya diajak ke tempat-tempat yang sunyi dan dirogol oleh syaitan yang bertopengkan manusia.

 

Dua minggu yang lalu ketika anak ketiga saya dimasukkan ke wad sementara kerana cirit-birit, saya berjumpa dengan seorang gadis bernama Sofia (bukan nama sebenar).  Lebih kurang pukul 3 pagi Sofia dimasukkan ke wad sementara Jabatan Kecemasan.  Pada masa itu, saya sudah tidur tetapi terjaga kerana bunyi bising (Sofia disoal oleh beberapa orang jururawat kerana mereka ingin menyiasat bagaimana Sofia boleh dihantar ke Jabatan Kecemasan).  Nampaknya gadis malang itu seorang anak gadis yang terbiar (dari caranya berpakaian kotor dan seperti tidak mandi).  Dia memberitahu umurnya 17 tahun.  Namun dari pertuturannya, saya boleh mengagak bahawa tahap IQ Sofia tidak berapa tinggi.  Pertuturannya kadangkala tidak jelas dan tidak beradab.  Dia membahasakan dirinya "orang" dan kadang-kadang "aku".  Pada awal pagi itu, Sofia dibiarkan tidur sahaja kerana para jururawat tidak berjaya mendapatkan maklumat mengenai dirinya memandangkan dia tiada sebarang pengenalan diri.

 

Keesokan hari, saya cuba mencungkil apa sebenarnya yang berlaku kepada gadis malang tersebut.  Ceritanya masih sama.  Dia memberitahu dia terjatuh dari motor dan ada orang menghantarnya ke Jabatan Kecemasan.  Ketika dia sedang bercerita, ada seorang kakitangan yang menghantar roti dan minuman kepadanya dan dia seperti gembira melihat kakitangan tersebut.  Lalu saya bertanya, kenapa Sofia nampak gembira.  Adakah orang itu seperti seorang yang Sofia kenali.  Lalu dia menjawab, orang itu seperti teman lelakinya.  

 

Dari cerita Sofia, rupa-rupanya dia pernah dirogol oleh seorang lelaki yang dia anggap teman lelaki sehingga melahirkan seorang bayi.  Lelaki itu seorang yang sudah berumur dan selalu melakukan perkara terkutuk itu di dalam kereta atau membawa Sofia ke rumahnya.  Anak Sofia sekarang dijaga oleh ibu Sofia.  Saya sangat simpati dengan nasib diri Sofia tetapi bagi saya ibu bapa Sofia yang bertanggungjawab dalam perkara ini kerana tidak berusaha meneruskan persekolahan Sofia dan membiarkan Sofia ke luar rumah tanpa tujuan dan tidak balik ke rumah.  Menurut Sofia, dia memang tidak pulang ke rumah dan tidur di wakaf-wakaf.  Patutlah dia begitu kotor dan tidak terurus.   


Selepas itu, saya tidak tahu nasib dan kesudahan Sofia bagaimana kerana anak saya dipindahkan ke wad 6 Selatan.  Apa yang saya tahu ialah, sebagai ibu bapa, kita harus menjaga amanah Allah ini sebaik mungkin kerana mereka bukan milik kita.  Semoga cerita ini menjadi iktibar kepada kita semua.

 

Wallahualam.

Neeny 

13 Disember 2011

10.40 pm

 

ISU SOSIAL : AWASI AKTIVITI ANAK GADIS DARI TERJERUMUS JERAT PEROGOL DURJANA

Jumlah kes rogol yang dilaporkan di negara kita telah bertambah dua kali ganda dari tahun 2003 ke 2007. Berdasarkan kajian yang dibuat, terdapat 1,279 kes pada tahun 2003. Jumlah ini telah meningkat kepada 3,098 kes pada tahun 2007. Namun harus diingat angka yang dilaporkan hanya melambangkan jumlah kes yang dilaporkan. Dalam banyak keadaan, kes rogol biasanya tidak akan dilaporkan kerana banyak sebab. Menurut Dr. D Prema dari Women's Centre for Change (WCC) Pulau Pinang, berdasarkan pengalaman, hanya 20 orang mangsa sanggup tampil dan berani untuk membuat laporan. Kenyataan tersebut dibuat semasa beliau berucap di seminar "Understanding and Supporting Rape Survivors".

Baru-baru ini kita sekali lagi dikejutkan dengan laporan akhbar tentang seorang gadis berusia 15 tahun telah dirogol secara bergilir-gilir dan beramai-ramai oleh 15 orang lelaki di Sungkai, Perak. Sebelum itu pun kita telah dihidang dengan banyak laporan di dada-dada akhbar berkenaan kes rogol yang sudah seperti menjadi halwa telinga kita setiap hari. Apakah punca sebenar kepada berlakunya jenayah rogol yang semakin menggila ini? Persoalan ini sememangnya tidak akan selesai selagi manusia yang bernafsu binatang ini tidak sedar betapa besar kesan perbuatan terkutuknya itu bukan sahaja kepada mangsa malah bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan. Dalam kebanyakan kes, mangsa pada mulanya hanya bertemu dengan 'pemangsa' atas dasar suka sama suka sama ada pertemuan mereka itu adalah lanjutan dari sembang-sembang di internet atau lebih popular dengan panggilan sembang maya ataupun perkenalan fizikal.  Hari ini, kita dilambakkan dengan pelbagai laman web sosial yang membuka ruang untuk pengguna internet bersembang-sembang. Contohnya seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. Selain itu, ruang sembang juga mempunyai pelbagai 'saluran' yang berunsurkan seks.

Ramai rakyat Malaysia lalai dengan menghabiskan banyak masa di hadapan komputer dan mendedahkan diri mereka kepada laman-laman web sosial ini yang akhirnya boleh menjurus kepada berlakunya amalan seks bebas dan mereka yang lemah, menjadi mangsa rogol. Selain itu, saya percaya, bagi yang beragama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam perbuatan keji itu jika mereka mempunyai iman yang teguh kerana sudah jelas di dalam Islam bahawa perzinaan itu haram hukumnya. Daripada perzinaan itu juga membawa kepada kesan buruk kepada masyarakat. Larangan zina ini jelas termaktub di dalam al-Quran dalam Surah al-Israk ayat 32.  Kebanyakan mereka yang terjerumus kepada dosa zina adalah mereka yang menurut hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan balasan seksa yang bakal mereka tanggung di akhirat kelak. Antara kerosakan yang lebih dahsyat apabila berlakunya perzinaan ialah banyak berlaku kes hamil luar nikah dan yang lebih teruk pasangan yang tidak bertanggungjawab ini sanggup membuang anak luar nikah yang dilahirkan sehingga banyak kes dilaporkan tentang kematian bayi di tong-tong sampah, dalam semak belukar bahkan ada juga yang ditemui di dalam tandas. Alangkah hina sikap manusia sedangkan haiwan yang melahirkan anak sanggup menjaga anak mereka, inikan pula kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Betapa hinanya manusia yang tergolong dalam kelompok ini.

Kanun Keseksaaan (Penal Code) buat masa ini menetapkan pesalah yang disabitkan di bawah seksyen 375 akan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan rotan.  Saya kira sudah tiba masanya pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia mengkaji semula hukuman sedia ada. Jika perlu, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka yang disabitkan kesalahan kerana bagi saya, perogol-perogol ini adalah sehina-hina makhluk di muka bumi ini. Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, awasilah supaya tidak menjadi mangsa kerakusan syaitan yang bertopengkan manusia ini. Kepada yang mempunyai anak-anak yang meningkat remaja, didiklah tentang asas agama yang kukuh supaya mereka tidak mudah terdorong untuk melakukan aktiviti yang menjelekkan ini dan sentiasalah memantau aktiviti mereka. Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah kerana pada waktu itu, nasi sudah menjadi bubur.


HANIF MOHSEIN MOHD. FAUZI
Ampang, Selangor
Utusan Malaysia
05 Mac 2010

 

AWASI ANAK GADIS KITA

PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON

Sifat tamak dan buta cinta menjadi antara faktor utama wanita Malaysia mudah diperbodohkan oleh sindiket warga Afrika yang menjalankan kegiatan penipuan kiriman bungkusan. Oleh itu, dalam hati tertanya-tanya di manakah silapnya sehingga wanita Malaysia dapat ditipu dengan mudah oleh sindiket berkenaan. 
Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak perempuan remaja, cerita dan laporan seperti ini amat menggusarkan hati dan perasaan. Saya percaya ramai ibu lain turut peka dan prihatin dengan perkembangan semasa termasuk tentang kehidupan yang melingkari anak- anak remaja mereka terutamanya anak perempuan. 

Sebagai ibu bapa sudah tentu mempunyai darjah kebimbangan dan kegusaran yang tinggi kerana anak yang kita tatang seperti "minyak yang penuh" jadi musnah masa depannya kerana permainan sindiket seperti ini. 
Kita perlu mengambil langkah proaktif dalam menjaga keselamatan anak-anak gadis kita daripada terjebak dengan penipuan sindiket warga Afrika ini. Antaranya:

* Kukuhkan nilai hidup berkeluarga dengan ibu bapa sepenuh usaha membina kasih sayang dan mengasihi anak secara positif seperti dianjurkan oleh agama. 

* Pastikan walaupun sibuk, ibu bapa dapat duduk semeja makan bersama, berbincang dan mendengar cerita dan rintihan hati anak-anak dan juga memberi dorongan dan sokongan kepada perkembangan mental dan fizikal. 

Anak-anak akan rasa dikasihi dan dihargai. Dengan ini, mereka tidak akan mencari 'kasih sayang' di luar yang dicurahkan oleh sindiket-sindiket seperti ini yang sudah tentunya melihat kelemahan anak remaja perempuan dalam mencari kasih sayang dan perhatian. 

* Ajaklah anak-anak solat berjemaah. Bermuzakarahlah dengan anak-anak serta memberi tazkirah dengan tunjuk ajar dan nasihat panduan hidup yang dibenarkan agama. Anak-anak merasa diri mereka diperhatikan, dijaga dan disokong kuat oleh ibu bapa dan kaum keluarga mereka. Ini akan menjadikan anak-anak khususnya, anak perempuan, kukuh jati diri dan keyakinan untuk berhadapan dengan anasir-anasir luar yang datang untuk memperdayakan mereka. 

* Ibu bapa juga perlu berusaha sedaya upaya memastikan keselamatan diri anak gadis mereka. Ketika pergi dan pulang dari sekolah, pastikan ada yang mengambil dan menghantar. Kalau ada masa ibu atau bapa sendiri yang menghantar dan mengambil mereka dari sekolah atau jika mereka mahu keluar membeli-belah dan sebagainya, jika tidak berupaya dari segi masa, pastikan hanya mereka yang dipercayai sahaja yang menjalankan tugas untuk menghantar mengambil anak dari sekolah dan sebagainya. 

* Pastikan kawan anak-anak gadis adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai status moral yang baik dan mempunyai contoh teladan untuk dilihat dan dicontohi oleh mereka. 

* Jangan sesekali menyerahkan tugasan menjaga anak kepada orang lain dan hanya memastikan mereka cukup duit dan makan pakai malah dilimpahi kemewahan dan sebagainya kerana santapan rohani anak juga perlu diberi perhatian serius agar mereka dapat menilai baik buruk dan menjaga moral dan keperibadian mereka serta maruah keluarga. 

Biarlah ibu bapa menangis dahulu dalam bersusah payah menjaga anak-anak sewaktu kecil hingga dewasa agar menjadi manusia berguna daripada bersikap bersenang-senang ketika ini dengan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah, sekolah dan masyarakat. Kita tidak mahu air mata kita tumpah di kemudian hari apabila melihat anak gadis kita diperangkap warga asing dan berada dalam penjara di luar negara! 

1 comment:

  1. kesian sofia...masih muda tapi tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya.

    ReplyDelete