Berita Baik!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sebenarnya saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mengumumkan berita baik ini, apatah lagi ahli-ahli Jom Kita Sihat sebagaimana saya telah maklumkan melalui emel.

Berita Baik 1:  Saya dan dua orang ahli JKS iaitu Puan Che Aminah dan Cik Nadia telah menghadiri Kursus Asas Senamrobik anjuran Kelab Aerobik Panji dan Pejabat Belia dan Sukan Negeri Kelantan.  Kami telah dilatih oleh seorang Master Trainer yang diiktiraf oleh National Fitness Council iaitu En. Abdul Rahman Ali yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang senamrobik.  Beliau juga merupakan konsultan bagi aktiviti luar dan lasak, jurulatih kecergasan bagi pasukan tentera dan juga perunding motivasi dalam bidangnya.  

Berita Baik 2:  Prof. Madya Nik Hazlina telah menawarkan kumpulan Jom Kita Sihat untuk berada dalam Unit Perkembangan Kesihatan Wanita memandangkan unit tersebut merupakan satu unit yang merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang sangat bermanfaat terutamanya kepada golongan wanita.  Oleh itu, saya telah memohon jasa baik beliau untuk menjadi Penasihat bagi kumpulan JKS.  Justeru itu, JKS akan bergerak lebih jauh lagi dalam bidang senamrobik di samping menganjurkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.  Lautan terima kasih diucapkan kepada Prof. kerana sudi menjadi penasihat JKS.

Berita Baik 3:  Berita baik ini berkaitan dengan berita baik 1 yang mana saya sedang merancang untuk mengadakan Kursus Asas Senamrobik terutamanya kepada semua ahli JKS kerana apabila sudah mengetahui asas-asas senamrobik, kita akan lebih berpengetahuan bukan saja untuk melakukan senamrobik, malah berpeluang untuk menjadi instruktor senamrobik.  Kemungkinan besar saya akan menjemput Master Trainer Abdul Rahman Ali untuk datang ke USM.

Berita Baik 4:  Kumpulan Jom Kita Sihat sudah ditukar kepada Kelab Jom Kita Sihat berkuatkuasa serta-merta.

Selain daripada aktiviti-aktiviti kecergasan, kita akan melibatkan diri juga dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan juga amal jariah.  Insya Allah, saya tidak ingin berjanji terlebih dahulu dengan menyatakan pelbagai perancangan, namun saya akan umumkan apabila kita sudah bersedia untuk melaksanakannya.

Sebarang komen dan cadangan boleh diemelkan kepada saya.

Sekian, Jom Kita Sihat!

Neeny
Pengerusi Kelab Jom Kita Sihat

No comments:

Post a Comment