Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana sentiasa mengurniakan kita nikmat-nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Syukur juga kerana diberikan kesihatan yang baik dan otak yang masih dapat berfungsi dengan baik.
Semalam saya mengendalikan satu lagi kes Lembaga Perubatan. Kali ini melibatkan pesakit yang kemalangan dan mengalami "Severe traumatic brain injury". Kecederaan yang dialami akan menjadi kekal serta menyebabkan beliau tidak berupaya menjalankan kewajipan-kewajipan beliau. Beliau sekarang "bed ridden" dan "fully dependent". Subhanallah....
Bukan nasib malang yang menimpa beliau yang ingin saya coretkan. Saya sekadar ingin berkongsi rasa keinsafan dan kesyukuran saya kerana menikmati hidup yang baik. Walaupun mungkin satu hari nanti Allah S.W.T. ingin menduga saya, saya harus bersedia menerima takdir (qada' dan qadar) yang telah ditentukan. Namun, sebagai manusia kita harus menjalani hidup kita dengan sebaik-baiknya dan menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Kita hendaklah menjaga tubuh badan dan kesihatan kita. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati di jalan raya dan jangan sekali-kali melanggar peraturan jalan raya yang ditetapkan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah Ar-Rad, ayat 11: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
Oleh kerana itulah, semakin ramai yang menyedari hakikat ini dan kami sentiasa menerima permohonan baru untuk mengikuti kelas aerobik Jom Kita Sihat. Kami tidak mengatakan bahawa kelas aerobik kami adalah yang terbaik tetapi kami cuba memberikan yang terbaik kepada semua ahli kami dari segi kepuasan dan keberkesanan. Kami cuba untuk melestarikan kelas aerobik ini dan menjalankan aktiviti secara istiqomah serta sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan dan ketabahan kepada kami agar terus istiqomah.
Kepada semua yang sentiasa ingin menjaga kesihatan mereka dengan apa jua bentuk senaman, saya ucapkan syabas kerana sebenarnya anda semua telah menjaga amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T.
Sekian, Jom Kita Sihat!
Zarini
Zarini
No comments:
Post a Comment